Cara Untuk Mengurus Emosi Anak

Perasaan anak-anak? Apa yang kita tahu tentang perasaan anak-anak kita? Menafikan perasaan anak adalah satu kesilapan yang sering kita terlepas pandang sebagai ibu bapa. Adakah situasi-situasi di bawah yang boleh dijadikan contoh dalam penafian perasaan anak-anak sering berlaku kepada kita juga?

Anak “Baju warna kuning ini tidak cantik. Kakak mahu baju warna merah juga!”. Ibu “Kakak dah banyak baju warna merah. Ambil baju kuning pula kalau tidak tak payah beli”. Selalukan dialog-dialog di atas kita ucapkan kepada anak-anak?. Penafian yang berterusan ini akan menyebabkan anak-anak keliru dan akhirnya akan membuatkan mereka bertambah marah kerana ibu bapa tidak percaya akan kata-kata dan tidak cuba untuk memahami mereka.

Sebagai ibu bapa kita perlulah meraikan perasaan anak-anak dan menjadi pendengar yang baik apabila mereka meluahkan perasaan. Merujuk kepada Adele Faber dan Elaine Mazlish dalam buku yang bertajuk “How To Talk, So Kids Will Listen”, mereka menggariskan 4 cara yang berkesan sebagai panduan kepada ibu bapa dalam membantu anak-anak menguruskan perasaan dan emosi mereka.

Mendengar Dengan Sepenuh Perhatian. Halakan badan ke arah anak dan pastikan mata kita selaras dengan mereka. Dengar setiap bicara, luahan mereka dengan perasaan empati. Seolah-olah kita berada di tempat mereka.

Meraikan Perasaan Anak. Raikan perasaan mereka dengan perkataan “Oh”, “Mmmmm”, dan “Begitu..”. Ekspresi seperti ini ditambah dengan sikap ambil berat daripada ibu bapa akan membuatkan anak-anak lebih menerokai fikiran dan perasaan mereka. Akhirnya, anak mungkin menemui jalan penyelesaian mereka sendiri terhadap permasalahan yang dihadapi.

Namakan Perasaan Anak. Bagaimana cara untuk menamakan perasaan anak? Mari lihat contoh di bawah. Jika anak sedih (respons) “Awak nampak sedih berpisah dengan kawan awak”. Jika anak gembira (respons) ” Awak berdua nampak gembira bermain bersama”.

Dengan memberikan respons begini, anak-anak akan lebih mudah ditenangkan jika dalam keadaan marah, sedih atau takut kerana merasakan ada orang yang memahami perasaan dan pengalaman mereka.

Tunaikan Permintaan Anak Secara Imaginasi. Apabila anak mahukan sesuatu yang mereka tidak boleh dapatkan, selalunya ibu bapa akan memberikan alasan logik sebab mengapa anak tidak boleh dapatkan sesuatu yang diinginkan seperti “basikal itu mahal”, “mainan itu tidak berfaedah”, dan “biskut itu sudah habis”.

Sebenarnya, kita boleh menukar pernyataan di atas kepada pernyataan yang lebih mesra dan positif. Ajak mereka berimaginasi bersama-sama seolah-olah kita tetap cuba menunaikan permintaan mereka walaupun secara fantasi sahaja.

Contohnya, “Ibu harap ibu ada kuasa magis untuk keluarkan kotak biskut yang baru kepada awak” dan “Mari kita melukis basikal bersama- sama, mesti basikal yang dilukis kamu lebih cantik dari itu”.

Namun, sebenarnya, sikap kita memainkan peranan yang lebih penting daripada apa yang kita ucapkan. Seiringkan setiap ucapan kita dengan perasaan empati supaya anak-anak akan merasakan yang ibu bapanya memahami setiap perasaan yang diluahkan mereka. Sumber bidadari

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *